RIYADH: “Wanita di Arab Saudi tidak perlu memakai penutup kepala dan abaya hitam – asalkan pakaian mereka ‘tidak mendedah dan sopan’ sudah cukup,” ujar Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammad bin Salman.
Sebelum ini, Arab Saudi turut menunjukkan perubahan dasar yang lebih “lembut” kepada wanita negara berkenaan apabila membenarkan mereka memandu kereta dan menghadiri acara sukan awam yang selama ini hanya dipenuhi lelaki.
Perubahan demi perubahan yang diperkenalkan ini, menunjukkan fasa peralihan Arab Saudi yang selama ini dianggap mengamalkan pemerintah Muslim yang konservatif.
“Hukum undang-undang syariah adalah jelas: wanita cuma perlu memakai pakaian yang tidak mendedah dan sopan, sama seperti lelaki.
“Ianya tidak patut tertakluk pada abaya atau penutup kepala warna hitam semata-mata. Terpulanglah kepada wanita itu sendiri pakaian sopan bagaimana yang mahu dikenakan,” ujar putera raja berkenaan kepada siaran televisyen CBS yang disiarkan Ahad lalu.
Arab Saudi yang sekian lama dipegang pemerintah berusia, dilihat mengalami perubahan bersama mandat yang diperoleh putera raja berusia 32 tahun tersebut.
Paling ketara adalah golongan wanita muda yang semakin berani mengenakan pakaian berwarna selain hitam di beberapa wilayah negara tersebut.
8 Mac lalu, sekumpulan wanita di bandar Jeddah turut “meraikan” Hari Wanita Antarabangsa dengan berjoging dan bersenam di kawasan awam.
Walau bagaimanapun, masih ada beberapa sistem yang dianggap menindas wanita di Arab Saudi giat diperjuangkan para aktivis di sana, antaranya undang-undang yang mewajibkan kebenaran daripada anggota keluarga lelaki jika wanita mahu menyambung pengajian, melancong dan melakukan lain-lain aktiviti di luar negara.
Sumber: Klick.my
No comments:
Post a Comment