SUNGGUHPUN lembu hanya seekor haiwan namun tidak bermakna ia boleh diperlakukan sewenang-wenangnya.
Haiwan juga mempunyai perasaan walaupun tidak berakal. Justeru, tindakan anggota polis menggunakan trak untuk mengheret seekor lembu mencetuskan kemarahan netizen.
Polis Perkhidmatan Awam di Bulukumba, Sulawesi Selatan, pada Rabu dihubungi untuk menangani lima ekor lembu yang terlepas dan berlari di sekitar jalan di bandar tersebut.
Polis berkata pemilik lembu itu didenda 1 juta Rupiah (RM284) kerana melanggar undang-undang mengenai pengurusan ternakan dan terpaksa membayar denda sebelum lembu-lembunya dikembalikan.
Tetapi pengguna Facebook, Muhammad Irham sempat merakamkan video menunjukkan salah seekor daripada lembu tersebut diikat dan diseret oleh trak polis.
Dia menyiarkan video dan gambar tindakan kejam terhadap haiwan itu di kumpulan Facebook untuk penduduk Bulukumba, yang kemudiannya menerima banyak komen dari netizen yang marah dan dikongsi oleh beberapa laman Facebook lain.
Gambar-gambar yang mungkin diambil selepas video dirakamkan, menunjukkan lembu itu ‘tumbang’ di jalan raya di belakang trak.
Nasibnya yang sebenar tidak diketahui tetapi mungkin ia akhirnya dikembalikan kepada tuannya bersama dengan lembu lain seperti yang dilaporkan oleh pihak polis.
Portal berita tempatan, Investigasi News, berkata mereka telah menghubungi polis Bulukumba pada Khamis untuk mengulas mengenai kejadian itu.
Pegawai yang bertindak balas berkata ia dilakukan mengikut prosedur tetapi enggan mengulas lanjut dan memberitahu wartawan bahawa mereka perlu datang ke pejabat untuk penjelasan lanjut.
Di bawah undang-undang jenayah di Indonesia, penderaan haiwan boleh dihukum sehingga tiga bulan penjara, serta denda 4,500 Rupiah (RM1.58), yang mungkin berat di era kolonial Belanda tetapi pada masa ini jumlah itu hanya dapat membeli sebotol air. –KLICK.MY
The post Polis Guna Trak Seret Lembu Cetus Kemarahan Netizen appeared first on KLICK.MY.
Sumber: PisangDaily
No comments:
Post a Comment