loading...

Thursday, 29 March 2018

Kegiatan Hasil Ubat Haram Dan Tiruan Dekat Kandang Babi Akhirnya Terbongkar



Sebuah kilang haram terletak di Pulau Pinang berjaya digeledah pihak berkuasa kerana sengaja menyembunyikan kegiatan menghasilkan ubat-ubatan haram, tiruan dan berbahaya bersebelahan lokasi kandang babi.

Bau busuk yang datang daripada 1,000 ekor babi yang diternak menyebabkan kilang yang berada berhampiran Kampung Selamat, Tasek Gelugor itu tidak dapat dihidu pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dibongkar apabila sepasukan 80 pegawai Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Cawangan Penguatkuasa Farmasi ( CPF) Pulau PInang diketuai Timbalan Pengarah Cawangan Perisikan Operasi BPF KKM, Adnan Salimin menyerbu kilang itu kira-kira jam 2 petang semalam. Serbuan turut dibantu pihak polis.

Difahamkan kegiatan sindiket yang menghasilkan ubat-ubatan haram dan tidak berdaftar di lokasi itu dikesan susulan risikan berterusan dilakukan pihak BPF sejak lebih setahun lalu.  Menurut jurucakap BPF, kilang itu terletak lima meter dari kandang babi serta dua kolam kumbahan najis yang menjadikan kawasan tersebut diselubungi bau yang luar biasa busuk.

"Siasatan mendapati kebanyakan ubat-ubatan haram dihasilkan itu adalah untuk pasaran tempatan selain dieksport ke Kemboja dan Vietnam.

"Rampasan membabitkan produk ubat-ubatan dicampur dengan kimia corticosteroid - dexamethasone secara haram khusus untuk menghilangkan sakit sendi, lenguh badan dan lutut.

"Malah hasil serbuan ini turut membongkar asal usul produk Air Ikan Haruan' dan Air Haruan Ajaib’ yang diharamkan KKM sejak sekian lama. Produk yang dicampurkan kimia steroid itu dikesan dihasilkan di kilang sama sebelum diedarkan ke seluruh negara.

"Kilang itu turut dikesan menyimpan ratusan ribu ubat papan mengandungi kimia steroid antaranya jenama Makjun Istimewa, Makjun Ajaib dan pelbagai pil menghilangkan sakit sendi.

"Malah siasatan turut menemui ubat sakit gigi palsu yang dihasilkan melalui kaedah penipuan terancang. Sindiket dikesan akan menghancurkan pil paracetamol sebelum diisi di dalam kapsul dan dijual sebagai ubat sakit gigi dengan jenama Cap Gaham.

"Selain itu turut dirampas pelbagai pil antibiotik, ubat tahan sakit dan ubat selsema tidak berdaftar. Semua ubat-ubatan haram itu dikesan diedarkan ke seluruh negara terutama ke kedai runcit, premis menjual ubat-ubatan tradisional dan toko jamu," katanya.

“Hasil operasi yang turut disasarkan terhadap lima gudang dan tiga kedai ubat tradisional di negeri ini, pihak BPF berjaya merampas 253 jenis produk tidak berdaftar mengandungi racun berjadual dianggarkan bernilai lebih RM9 juta,” katanya.

Menurutnya, pengilang dan penjual produk haram ini boleh didakwa mengikut Seksyen 13(a) Akta Racun 1952 kerana memiliki racun untuk tujuan jualan tanpa lesen sah dan Seksyen 12 Akta Jualan Dadah 1952.

“Jika sabit kesalahan katanya, boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali.

“Kejayaan operasi ini sekaligus diyakini dapat mematahkan kegiatan membekalkan ubat-ubatan haram dan berbahaya di pasaran tempatan yang dijalankan sejak sekian lama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment