loading...

Friday, 30 March 2018

“Mak minta maaf. Mak terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi ini sebab tak mampu bayar pengasuh.”

“MAK minta maaf. Mak terpaksa tinggalkan Is di kedai dobi ini sebab tak mampu bayar pengasuh.”



Begitu luahan ibu empat anak, Julia Isnin, 41, yang terpaksa meninggalkan bayi lelaki berusia empat bulan di kedai dobi di Larkin Perdana, Johor Bahru setiap hari sejak dua bulan lalu untuk keluar bekerja.

Keluarga itu juga hidup merempat termasuk tidur di masjid atau rumah terbiar sejak Ogos lalu apabila suaminya menghilangkan diri sebelum kediaman mereka di Taman Chempaka, Johor Bahru disita.

Julia yang mengambil upah menyapu sampah di Larkin Perdana berkata, dia terpaksa meninggalkan bayinya Mohd Iskandar dengan ditemani anak perempuan Nor Farahin Shahri, 11, serta anak kembarnya, Mohd Azhar dan Mohd Azhari, 13.

Kesempitan hidup juga menyebabkan hanya Nor Farahin masih bersekolah, manakala anak kembarnya terpaksa berhenti sejak tahun lalu bagi membantu menjaga adik mereka.

Julia berkata, walaupun bimbang keselamatan anaknya terutama Iskandar yang dikenali sebagai Is, dia terpaksa berbuat demikian disebabkan kedaifan hidup dan tidak mempunyai sebarang pilihan lain.

Katanya, kedai dobi adalah rumah kedua untuk anaknya berteduh kerana diyakini lebih selamat berbanding tempat lain, selain terletak berhampiran dengan lokasi dia bekerja di blok bangunan sama.

“Macam inilah rutin harian saya. Bermula 8 pagi dari Isnin hingga Sabtu, saya bawa anak ke kedai dobi dan meletak Is di meja.

“Alhamdulillah, Is memang baik tak meragam, diam saja. Dia macam tahu mak dia susah, kalau menangis pun biasalah nak susu tetapi kakak dia boleh buatkan. Cuma kadang-kadang kalau tak abang, kakak dia akan cari saya bila Is menangis.

“Kadang-kadang sambil sapu sampah terdetik juga rasa bimbang. Tangan saya menyapu, tetapi dalam hati ini hanya Tuhan saja yang tahu,” katanya.

Menurutnya, walaupun lokasi dia bekerja terletak kira-kira 100 meter dari kedai dobi itu, namun dia akan berulang kali menjenguk anaknya bagi memastikan keselamatan mereka.

Katanya, kehidupan mereka sekeluarga berubah apabila suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori menghilangkan diri, manakala rumahnya disita, tahun lalu.

“Saya cuba mencari suami, namun gagal dan sehingga kini tidak diketahui di mana dia berada,” katanya.

Sementara itu, Presiden Muafakat Pendidikan Johor (MPJ) Ridhwan Othman ketika dihubungi berkata, pihaknya akan membantu dua anak kembar Julia meneruskan persekolahan mereka.


Sumber : SuaraMedia

No comments:

Post a Comment