SEMALAM tular di media sosial berita mengenai primadona Uji Rashid yang dikatakan telah diusir dari kediamannya di Ampang, sehingga terpaksa meminta bantuan untuk tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Ternyata gara-gara berita itu pelakon dan penyanyi ini terpaksa menanggung malu.
Menurut laporan mStar Online, pengurus Uji, Kit Rushuhaimin berkata, berita tersebut menyebabkan penyanyi veteran itu tidak dapat berhadapan dengan orang ramai kerana tanggapan serong masyarakat terhadap kehidupannya kini.
“Dia terduduk semalam selepas membaca berita tentang itu dan mengadu pada saya bahawa dia benar-benar malu untuk keluar berhadapan dengan orang ramai.
“Dia kata kepada saya, biar bumi telan Kak Uji daripada dia hendak berhadapan dengan persepsi masyarakat terhadapnya, lagi pula dia perlu ke hospital pada hari Khamis sehari selepas berita itu tersebar,” ujarnya.
“Saya kasihan dengan dia, tak sanggup nak angkat telefon kerana ramai yang bertanya hal itu. Pada saya dia seorang wanita yang kuat berhadapan dengan ujian.
“Sejak setahun kebelakangan ini kehidupannya agak sukar dan terpaksa menanggung keluarga seorang diri. Anaknya Cico sedang sakit dan banyak duit dihabiskan untuk pembiayaan rawatan Cico,” katanya.
Selain itu, Kit memberitahu terdapat kesilapan dan salah faham dalam kenyataan yang diberikan pada akaun Facebook Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar itu.
Katanya, Uji Rashid masih menetap di kediaman yang sama, namun mengakui kelewatan membayar sewa rumah membuatkan dia digertak agar mengosongkan rumah berkenaan.
“Dia masih tinggal di sana, cuma apa yang diberitahu ialah sering lewat membayar sewa membuatkan dia digertak untuk kosongkan rumah.
“Pihak menteri juga sudah menghubungi saya dan menyatakan permohonan maaf terhadap perkara berkenaan,” jelasnya.
Dalam pada itu Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang menaungi artis di negara ini sudah sedia maklum tentang masalah tempat tinggal yang dialami oleh Uji selepas diberitahu pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Presidennya, Zed Zaidi berkata, dia dan ahli persatuan cuba menghubungi Uji bagi menguruskan hal dokumentasi permohonan tersebut, namun gagal.
“Saya dimaklumkan tentang masalah yang dihadapi oleh Uji Rashid menerusi pihak KPKT baru-baru ini yang mahu kami menguruskan hal berkaitan borang dan melengkapkan dokumen mengikut prosedur ditetapkan.
“Malangnya, usaha menghubungi Uji gagal kerana dia tidak mengangkat telefon dan mungkin sibuk. Saya hubungi pengurusnya iaitu Kit dan minta Uji menghubungi KPKT sendiri untuk urusan dokumentasi itu,” ujarnya.
Menurut Zed, pihaknya sukar untuk memberi bantuan kepada mana-mana anak seni yang tidak memaklumkan tentang masalah yang mereka hadapi dan enggan memberi kerjasama.
“Kita ada membuka peluang dan tawaran 10 buah rumah bawah Seniman tahun lalu dan ia sudah diluluskan pihak menteri dan Uji Rashid ini kes istimewa yang diluluskan menteri menjadikan 11 buah rumah bawah Seniman.
“Dia tidak menghubungi Seniman dan kami juga sukar untuk mendapatkan maklumat dan bantuan kerana tiada kerjasama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zed berkata, satu majlis penyerahan kunci kepada 11 orang artis termasuk Uji Rashid akan diadakan dalam masa terdekat.
Sumber: Klick.my
No comments:
Post a Comment