SHAH ALAM: Penuntut universiti awam (UA) dan swasta dijangka menerima bantuan pelajar pendidikan tinggi (BPPT) bagi tahun 2018 yang akan dikreditkan melalui Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) pada 15 Mac ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sejumlah RM300 juta peruntukan akan disalurkan kepada 1.2 juta penuntut pelbagai institusi pengajian tinggi serta pelajar Tingkatan Enam pada tahun ini.
Beliau berkata, peruntukan berkenaan boleh digunakan bagi pelbagai tujuan termasuk pembelian buku, alat tulis, peralatan komputer dan penggunaan internet.
"Ia akan dikreditkan melalui KADS1M mulai 15 Mac ini dan penuntut boleh menyemaknya di Bank Rakyat.
"Peruntukan ini selaras dengan Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi membantu mengurangkan kos sara hidup yang dialami penuntut institusi pengajian tinggi," katanya pada Program #KIT Keeping In Touch Menteri Pendidikan Tinggi bersama Pemimpin Mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), hari ini.
Mengulas lanjut, Idris berkata, penuntut yang sudah menerima KADS1M pada tahun lalu tidak perlu membuat permohonan baharu kerana BPPT akan dikreditkan secara automatik kepada mereka.
"Bagi tahun ini juga, penuntut boleh menyemak sendiri status kelayakan mereka di pautan yang akan diumumkan kelak.
"Dengan ini, kes keciciran nama penuntut daripada institusi dapat dikenal pasti dari awal sekiranya ada," katanya.
Idris berkata, penuntut juga boleh mengambil KADS1M di mana-mana cawangan Bank Rakyat berbanding tahun lalu yang mana mereka hanya boleh mengambil di cawangan terpilih ketika membuat pendaftaran saja.
Sumber: bharian.com
No comments:
Post a Comment