LELAKI berusia 44 tahun yang didakwa membunuh wanita warga emas dalam kejadian samun di rumahnya di Taman Malaysia, Pumpong, Alor Setar, pada 25 Februari lalu adalah bekas gitaris sebuah kumpulan rock.
Suspek yang berasal dari Johor itu pernah menjadi gitaris sebuah kumpulan rock yang popular era 80-an selepas memenangi pertandingan Juara Rock Johor dan Juara Rock Johor Tengah 1988.
Malah, ketika bersama kumpulan itu, suspek meraih pelbagai kejayaan apabila salah satu album mereka terjual melebihi 150,000, melayakkan diri ke peringkat akhir Anugerah Juara Lagu 1990 dan finalis Top 5 kategori Penyanyi Berkumpulan Popular.
Bagaimanapun kumpulan itu tidak lagi aktif di persada seni selepas menerbitkan sebuah album pada 2004.
Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah Senior Asisten Komisioner Mior Farid Al Athrash Wahid berkata, suspek direman seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Perintah tahanan reman sehingga 19 Mac ini dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Alor Setar Nor Azah Idris bagi membantu siasatan.
Suspek sebelum ini membuat pengakuan membunuh Kau Fu Eng, 71, yang ditemui mati dengan kesan jerutan dipercayai akibat pergelutan selepas ditahan di Kuala Lumpur pada 28 Februari lalu berkaitan satu lagi kes pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar.
Media semalam melaporkan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, siasatan mendapati motif pembunuhan lebih kepada pecah rumah apabila suspek bertindak ganas sehingga menyebabkan kematian mangsa apabila menyedari wanita itu berada di dalam rumah ketika kejadian itu.
Beliau berkata, susulan pengakuan suspek, polis merampas semula barangan yang hilang dan siasatan lanjut mendapati dia mempunyai 17 rekod jenayah lampau membabitkan dadah dan pecah rumah.
Mayat Kau ditemui anak perempuannya pada jam 5.45 petang, 25 Februari lalu apabila pulang daripada menghantar cucu mangsa ke kelas tuisyen. – SL
Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment