loading...

Tuesday, 20 March 2018

Pemandu Jengkaut Terkejut Menjumpai Batu Dan Kotak Lama Semasa Menggali Parit

SELINSING – Seorang pemandu jengkaut terkejut menemui tujuh kubur lama milik orang Islam di kawasan perkampungan orang Cina di Kampung Lean Seng, di sini sewaktu hendak menjalankan kerja menggali parit di sebuah ladang di sini, Isnin lalu.

Kubur dipercayai berusia hampir 100 tahun itu kemudiannya dipindahkan anggota Pejabat Agama Daerah Kerian (PADK) ke tanah perkuburan Masjid Jamek Matang Gerdu, Alor Pongsu setelah mendapat izin Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perak (Maipk) semalam.



Pemandu berkenaan, Shahrin Sabli, 27, berkata, lebih kurang jam 4 petang, dia diarah majikan untuk menjalankan kerja menggali parit di sebuah tanah seluas 1.2 hektar menggunakan jengkaut di kampung itu bagi tujuan perusahaan penanaman limau barli.

Menurutnya, baru sahaja dia mengorek parit sejauh 100 meter, tiba-tiba jentera mesinnya mengangkat sebuah batu berupa seakan-akan batu nisan di lokasi penemuan.

“Saya terkejut melihat rupa bentuk batu berkenaan seakan-akan batu nisan dan mula menyangka di kawasan parit digali, mungkin terdapat kubur lama milik orang Islam.

“Tekaan saya tepat apabila semakin dalam tanah di situ digali, jengkaut saya mula menarik keluar satu kotak papan menyerupai keranda bersama satu lagi batu berupa batu nisan,” katanya sewaktu ditemui media di lokasi penemuan kubur itu di Kampung Lean Seng, Kuala Gula di sini hari ini.

Shahrin berkata, susulan penemuan mengejutkan itu, dia segera memaklumkan kepada pemilik tanah, Boo Lai Hup, 72, untuk tindakan susulan majikannya itu.

“Sepanjang sembilan tahun bekerja sebagai pemandu jengkaut, sudah banyak kali saya terjumpa kubur lama, namun kubur lama dijumpai di sini agak pelik kerana ia kubur orang Islam meskipun terletak di perkampungan masyarakat Cina,” katanya.

Sementara itu, Lai Hup yang mewarisi tanah ladang berkenaan daripada mendiang ayahnya mengakui pernah terjumpa sebuah kubur lama milik orang Islam di tanah itu suatu ketika dahulu.

Namun, dia dan mendiang ayahnya menganggap penemuan sebuah kubur lama sebelum ini hanya setakat itu sahaja dan bertindak mengusahakan tanaman kelapa sawit di situ seperti biasa.

“Selepas dimaklumkan Shahrin, saya terkejut apabila terdapat sebuah lagi kubur lama ditemui.

“Kami segera membuat laporan polis di Balai Polis Bagan Serai dan apabila siasatan lanjut dibuat polis dan pegawai Jabatan Agama Islam Negeri Perak (Jaipk), enam lagi kubur orang Islam ditemui bersebelahan dengan kubur yang mula-mula dijumpai,” katanya.

Lai Hup berkata, pihaknya sedang melaksanakan kerja menggali parit bagi membolehkan tanah itu dijalankan kerja penanaman limau barli.

“Saya tidak menyangka tanah diwarisi dari keluarga rupanya mempunyai kawasan tanah perkuburan masyarakat Islam zaman dahulu.

“Apabila kerja pemindahan kubur berjaya diselesaikan, saya berasa lega dan berharap tiada lagi tapak kubur ditemui di sini,” katanya.

Adab kebumi mayat

Soalan : Dalam Islam, adakah terdapat waktu-waktu tertentu melarang mengebumikan mayat. Kalau mayat banyak yang hendak dikebumikan dalam satu kubur, adakah terdapat keutamaan mayat macam mana hendak dimasukkan dalam kubur terlebih dahulu?

Adakah mayat itu boleh dimasukkan dalam kubur dari mana-mana bahagian yang disukai, kepala dahulu, kaki atau masuk serentak perlahan-lahan? Seperti yang dilakukan sekarang adakah meletakkan bola tanah di sisi mayat itu mempunyai alasan atau hanya adat kebiasaan semata-mata? Dan yang paling penting, setakat mana penglibatan seseorang itu dalam urusan mayat dapat memberi keinsafan diri? Terima kasih.

JAWAPAN: Jumhurul ulama berpendapat bahawa mengebumikan mayat pada waktu malam itu sama sahaja keadaan dengan menguburkan mayat pada waktu siang.

Rasulullah s.a.w pernah menguburkan seorang lelaki yang selalu berzikir dengannya pada waktu malam. Syaidina Ali juga menguburkan Syaidatina Fatimah pada malam hari. Saidina Abu Bakar, Usman, Saidatina Aishah dan Ibn Masud juga dikebumikan pada waktu malam.

Walaupun demikian menguburkan mayat pada waktu malam itu dibolehkan sekiranya hak-hak yang berkaitan dengan mayat itu telah sempurna dilakukan. Sekiranya hal seperti ini tidak dipenuhi maka perbuatan itu adalah ditegah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim menyatakan bahawa nabi pada satu hari telah memberi penerangan kepada orang ramai dan menyebut tentang seorang lelaki sahabatnya yang meninggal lalu dikafankan dengan kain kafan yang tidak mencukupi dan dikebumikan pada waktu malam.

Nabi telah mencela amalan menguburkan mayat pada waktu malam kecuali seseorang itu terpaksa melakukannya. Begitu juga keterangan daripada sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh ibnu Majah daripada Jabir.

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan as-sahibus Sunan daripada Uqbah katanya, ada tiga waktu di mana nabi menegah kami menyembahyangkan atau menguburkana mayat, iaitu ketika tepat waktu terbitnya matahari sehingga ia naik, ketika tepat tengah hari sehingga matahari tergelincir dan ketika hampir terbenam matahari sehinggalah ia terbenam.

Biarpun tegahan itu jelas, tetapi sekiranya keadaan memaksa, seperti dikhuatiri mayat menjadi busuk, maka mengebumikan mayat pada waktu itu boleh dilakukan dengan sengaja tanpa sebab darurat seperti yang dijelaskan, maka hukumnya adalah makruh.

Perlu dijelaskan bahawa dalam mengendalikan pengebumian ini, setiap seorang perlu memastikan bahawa mayat yang ditanam itu selamat dan tidak dapat digali oleh binatang buas.

Kerana itu kubur perlu digali dalam sekira-kira bau mayat itu tidak dapat dicium oleh manusia juga binatang termasuk burung-burung.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Nasai daripada Hisyam bin Amir, juga oleh Turmizi katanya: Kami telah mengadu kepada Rasulullah s.a.w ketika perang Uhud. “Ya Rasulullah, adalah sukar bagi kami untuk menggali kubur untuk setiap mayat.’’

Mendengar kata itu, Rasulullah bersabda: Galilah kamu semua, dalamkan dan perelokkan, tanamlah dua atau tiga mayat dalam satu kubur.

Mereka bertanya: Siapakah yang kami hendak dahulukan ya Rasulullah? Baginda menjawab: Dulukan yang banyak hafal al-Quran. Bapaku adalah termasuk dalam salah seorang yang ditanamkan dalam sebuah kubur yang memuat tiga jenazah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu Munzir daripada Umar bahawa ia berpesan menyatakan: Galilah kubur itu setinggi tegak dan selebar badan.

Satu perkara lain yang perlu juga kita fahami ialah tentang bentuk lubang kubur itu sendiri. Ada kubur yang digali yang diberi liang di sisi kubur pada arah kiblat.

Di atasnya diletakkan papan-papan menjadikan bentuknya seakan-akan rumah yang beratap. Satu bentuk lain dinamakan syaq, iaitu liang yang dibuat di tengah-tengah kubur.

Sumber : SuaraMedia

No comments:

Post a Comment