BAHANG politik masih belum lagi sejuk memandangkan pelbagai kes mula terbongkar sedikit demi sedikit.
Selain rakyat marhein, golongan artis turut mengikuti rapat perkembangan tersebut.
Umum mengetahui baru-baru ini rumah mantan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah digeledah pihak polis bagi mencari barang-barang bukti kes salah laku melibatkan 1MDB.
Namun, pelakon Johan As’ari telah mencetuskan rasa kurang senang netizen apabila memuat naik tweet berbau sindiran terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) berkenaan hal tersebut.
“Cuba check rumah Tun, mesti banyak juga duit,” tulisnya disertai dengan emoticon mata duitan.
Tindakannya itu menyebabkan ada segelinir pengikutnya mula hilang rasa hormat dan memilih untuk tidak lagi mengikuti akaun Twitter Johan. Malah ada yang menganggap Johan sengaja mencari publisiti murahan.
Lapor Sinar Harian, ketika dihubungi, Johan mengakui bahawa dia yang menulis tweet tersebut kerana berasa kasihan dengan keluarga bekas perdana menteri itu.
“Johan kasihan dengan DSN dan sekeluarganya. Maaflah andai Johan menggores hati ramai pihak,” katanya.
Dalam pada itu, Johan juga menafikan dakwaan kononnya dia tidak menghormati Tun Dr Mahathir. Sebaliknya dia amat mengagumi kepintaran Pengerusi Pakatan Harapan itu.
“Ya, Johan amat mengagumi Tun M. Beliau seorang yang begitu pintar. Semua perdana menteri ada kelebihan yang tersendiri. Pasti ada hikmah di dalam apa jua situasi. Johan sentiasa mendoakan yang terbaik buat Malaysia tercinta,” katanya.
Sama ada sengaja mahu mencetuskan kontroversi atau tidak, berfikirlah terlebih dahulu sebelum memuat naik sesuatu perkara terutamanya golongan artis.
Andai tersilap langkah, diri sendiri juga yang rugi.
Sumber: Klick.my
No comments:
Post a Comment