loading...

Saturday, 19 May 2018

Dapat Sokongan Siti Nurhaliza, Sarimah Ibrahim Sedia Buat IVF



SEMUA sedia maklum, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah melakukan rawatan kesuburan, In Vitro Fertilization atau IVF dalam usaha mendapatkan cahaya mata.
Usahanya itu berbaloi dengan izin Allah SWT maka lahirlah Siti Aafiyah ke dunia ini.

Kejayaan itu menjadi inspirasi kepada seorang lagi artis popular iaitu Sarimah Ibrahim yang sudah mendirikan rumah tangga selama tiga tahun namun belum dikurniakan cahaya mata.



Lapor Berita Harian Online, Sarimah sudah bersedia menjalani rawatan kesuburan IVF dalam usaha mendapatkan cahaya mata.

Menurut Sarimah, hasratnya itu turut mendapat sokongan Siti Nurhaliza yang turut menggunakan kaedah sama.

“Saya dan Siti ada berbincang mengenai perkara ini, malah dia turut berkongsi maklumat mengenai kaedah rawatan IVF. Dia juga menasihatkan saya supaya sentiasa bersangka baik dengan Allah.

“Cepat atau lambat Tuhan berikan rezeki, tetap ada hikmah di sebaliknya. Dari segi kesihatan, saya dan suami tidak ada masalah. Harapan saya, doa kami untuk mendapatkan anak sempena kedatangan Ramadan ini akan dimakbulkan,” katanya.



Dalam perkembangan lain, pelakon Gerak Khas The Movie dan Janji Diana ini turut meluahkan keinginan untuk memperlahankan aktiviti seninya bagi menumpukan perhatian terhadap rumah tangga.

“Sebelum ini, saya memang kuat bekerja. Kalau boleh semua benda saya mahu buat. Selepas usia mencecah usia 40-an ini, fokus saya adalah mahu mendapatkan zuriat.

“Disebabkan itu, saya menceburkan diri dalam bidang perniagaan. Sekurang-kurangnya saya ada masa untuk berehat dan bersama suami,” katanya yang pernah popular dengan lagu, Kini Kau Tiada.



Sarimah mendirikan rumah tangga dengan cucunda Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-10, Tunku Nadzimuddin Tunku Mudzaffar atau lebih mesra dengan panggilan Tengku Jamie pada 2 April 2015.

Sumber: Klick.my

No comments:

Post a Comment