SEMALAM pihak polis menemui sebuah peti besi di rumah bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikatakan tidak pernah dibuka sejak 20 tahun lalu.
Menurut sumber, peti besi lama keluarga itu tidak dapat dibuka sebelum ini kerana kuncinya telah hilang.
Dua tukang kunci ditugaskan untuk membuka peti besi yang berada di tingkat satu kediaman di Taman Duta itu.
Kemudian media melaporkan peti besi di kediaman peribadi Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, yang berjaya dibuka tersimpan mata wang asing lama yang kecil jumlahnya.
Jurucakap bekas perdana menteri, dalam kenyataan lewat malam tadi, berkata ia turut mengandungi beberapa dokumen termasuk sijil perkahwinan Najib dan Datin Seri Rosmah Mansor.
“Ia merupakan sebuah peti besi yang berusia lebih 20 tahun dan dibuka secara paksa kerana kuncinya telah hilang,” katanya.
Menurutnya, peti besi itu terpaksa dibuka menggunakan kepakaran tukang kunci.
Jurucakap itu seterusnya berkata peti besi di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya merupakan sebahagian daripada rumah berkenaan.
“Tidak sepatutnya timbul masalah membukanya,” menurut kenyataan itu.
Penggeledahan di kediaman peribadi bekas perdana menteri itu, serta lima lagi lokasi lain, adalah sebahagian daripada siasatan kes penyelewengan dana, syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (IMDB).
Sumber: Sinar Harian Online / Bernama
No comments:
Post a Comment