PELAKON BAHARU yang juga sepupu kepada Janna Nick, Adam Lee tidak mengambil peduli dengan tindakan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan fotonya dalam aplikasi telefon kegunaan golongan homoseksual.
Hal tersebut diketahui olehnya apabila ada rakannya pernah bertanya mengenai penggunaan foto separuh bogel miliknya dalam aplikasi terbabit.
“Saya akui, pernah ada orang yang bertanyakan mengenai hal itu. Jika benar ia memang wujud, saya sendiri mahu tengok.
“Sejujurnya, saya sendiri tak pernah tengok lagi gambar separuh bogel atau foto seksi mana yang digunakan dalam aplikasi terbabit. Apa yang penting, profil dalam aplikasi tersebut bukan milik saya,” kata Adam.
Adam atau nama penuhnya Muhamad Arif Adam Mohamad Fadlee yang pernah membintangi drama rantaian Lara Aishah ini juga enggan membesarkan isu tersebut.
“Saya sendiri sedar, bukan mudah untuk mencari siapa individu tak bertanggungjawab di sebalik perkara terbabit.
“Jika benar ada pihak mencuri foto yang saya telah muat naik di laman sosial dan menggunakan ia untuk perkara seperti itu, tiada perkara yang boleh saya buat. Saya cuma ingin menegaskan, profil tersebut bukan milik saya.
“Saya mengaku, sebelum ini saya selalu berkongsi foto yang menampakkan tubuh badan kerana saya sering ke gimnasium untuk bersenam.
“Semenjak sibuk dengan kerjaya seni, saya jarang berkongsi foto seperti itu di laman sosial kerana jarang melakukan aktiviti kecergasan dan susah untuk mencari masa berkunjung ke gimnasium,” jelasnya yang bakal menghiasi drama bersiri Klik!Pengantin Musim Salju arahan pengarah Hadith Omar.
Dalam drama tersebut, Adam bergandingan dengan teraju utama, Siti Nordiana dan Alif Satar.
Drama bersiri ini akan mula disiarkan bersempena kedatangan Ramadan yang bakal tiba nanti.
Sumber: Gempak
No comments:
Post a Comment