loading...

Monday, 21 May 2018

Peguam Najib tarik diri beberapa jam sebelum ke SPRM



KUALA LUMPUR: Hanya beberapa jam sebelum bekas Perdana Menteri memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua peguamnya, Harpal Singh Grewal dan M Athimulan telah memutuskan untuk menarik diri.

Harpal mengesahkan beliau menarik diri selepas mengadakan pertemuan di kediaman anak guamnya itu di Taman Dut, Isnin malam.

“Ya, saya sahkan kami (bersama Athimulan) sudah menarik diri sebagai ahli guaman mewakili Najib.

“Bukannya disingkir tetapi kami menarik diri kerana ada pasukan peguam lain yang akan mengendalikan kes berkenaan,” katanya ketika dihubungi The Star.

Sebelum itu, sebuah portal berita melaporkan Harpal dan Athimulan telah disingkirkan daripada pasukan guaman Najib.

Laporan itu berkata kumpulan guaman mewakili Najib kini diambil alih oleh bekas peguam cara negara iaitu Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden dan enam lagi rakannya.

SPRM telah menyerahkan notis memanggil Najib untuk merakam percakapannya di ibu pejabat SPRM pada pukul 10 pagi Selasa.

SPRM sebelum ini menyiasat Najib berikutan deposit berbilion ringgit dalam akaun bank peribadinya serta dana dari SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 sekiranya gagal hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya esok(hari ini) untuk membantu siasatan berhubung kes SRC International Sdn Bhd.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata notis telah diserahkan kepada Najib untuk hadir ke ibu pejabat suruhanjaya itu pada 10 pagi esok(hari ini) untuk dirakam keterangan.

“Sekiranya beliau tidak hadir untuk proses mengambil keterangan, beliau boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SPRM 2009,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini tanpa mengulas lanjut bentuk tindakan yang boleh diambil.

Beliau berkata setakat ini, SPRM hanya memanggil Najib sahaja dan belum membuat keputusan memanggil mana-mana individu lain.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Jumaat lepas, sepasukan pegawai SPRM berkunjung ke rumah Najib di Taman Duta di sini untuk menghantar notis meminta Anggota Parlimen Pekan itu hadir ke pejabat SPRM untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan. – BERNAMA

Sumber : Mstar

No comments:

Post a Comment